logo pengakap putih

PENGAKAP MALAYSIA

"Membina Insan, Memimpin Masa Depan"

"Disiplin bentuk peribadi, bakti ukir legasi"

ANUGERAH PENGAKAP RAJA

Anugerah Pengakap Raja

Anugerah Pengakap Raja merupakan pengiktirafan tertinggi Pengakap Remaja di Malaysia, diberikan kepada ahli yang menunjukkan tahap kecemerlangan
luar biasa dalam semua aspek kepengakapan. Anugerah ini bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi lambang kepada ketabahan, disiplin dan kepimpinan sejati yang terhasil daripada latihan berterusan, semangat juang dan nilai khidmat yang kukuh. Hanya Pengakap yang benar-benar memahami erti tanggungjawab, kesetiaan dan keikhlasan dalam berbakti, layak mencapai puncak penghormatan ini.

Tujuan dan Nilai Anugerah

Tujuan utama untuk mengiktiraf dan menghargai usaha gigih Pengakap Remaja dalam menghayati nilai-nilai murni kepengakapan serta menjadi motivasi kepada ahli agar terus mengamalkan semangat “Buat
Habis Baik” serta mengamalkan kepercayaan kepada Tuhan, khidmat kepada Raja dan Negara, serta tanggungjawab kepada diri dan masyarakat dipegang sebagai panduan hidup. Anugerah ini menegaskan kepentingan kepimpinan melalui tauladan, di mana seorang Pengakap sejati memimpin dan berkhidmat dengan ikhlas.

Proses Penilaian dan Kelayakan

Untuk mencapai Anugerah Pengakap Raja, calon perlu
melalui satu proses penilaian menyeluruh dan berperingkat. Mereka mesti melengkapkan semua lencana kemajuan dan lencana tertinggi, disusuli dengan Ujian Sikap dan Ujian Penarafan yang dijalankan di peringkat negeri atau kebangsaan. Penilaian ini bukan sekadar menilai kemahiran teknikal, tetapi turut menilai sahsiah, kepimpinan, disiplin, daya tahan dan semangat kerja berpasukan. Setiap calon diuji bukan untuk bersaing dengan orang lain, tetapi untuk menilai sejauh mana mereka berjaya menakluk kelemahan diri sendiri.

Makna dan Kepentingan Anugerah

Mendapat Anugerah Pengakap Raja adalah kemuncak
perjalanan seorang Pengakap, satu pengiktirafan tertinggi atas usaha, dedikasi dan ikhlas berkhidmat. Ia melambangkan pencapaian tertinggi dalam dunia kepengakapan dan menjadi bukti bahawa seseorang itu telah melalui latihan yang membentuk jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS). Penerima bukan sahaja kebanggaan keluarga dan sekolah, malah menjadi teladan kepada seluruh generasi muda Pengakap Malaysia. Anugerah ini meneguhkan hakikat bahawa kepimpinan sebenar lahir daripada hati yang berkhidmat dan jiwa yang tidak pernah menyerah.

ketahui lebih lanjut....>>

Scroll to Top